Condemn Israel!!!!!

Saturday, April 25, 2009

Kemajuan dalam kemunduran ATAU Kemunduran dalam kemajuan?

Saya akan ceritakan sebuah kisah benar yang satu ketika dulu berlaku dalam keluarga terdekat kami. Aunty M bernikah dengan uncle U, atas dasar cinta walaupun pada awalnya mendapat tentangan hebat dari kedua-dua belah keluarga kerana uncle u berasal dari keluarga kristian ortodoks. Tapi kemudiannya masalah dianggap selesai setelah uncle u memeluk islam sebelum menikahi my aunt, aunty M.

Singkat cerita, perkahwinan mereka dikaruniai dengan 3 orang cahaya mata (2 anak lelaki dan 1 anak perempuan). Satu hari keluarga kami digemparkan dengan tindakan aunty M yang menuntut fasakh dari suaminya dan nekad melarikan ketiga anaknya itu ke rumah my grandparents. Katanya, dia sudah tidak tahan lagi dengan sikap suami dan keluarga di sebelah suami yang nakkan dia dan anak-anak murtad dan mengikut agama suami.

Singkat cerita lagi, mahkamah membenarkan tuntutan fasakh dan hak penjagaan anak-anak diberikan kepada aunty M. Tahun demi tahun berlalu, anak-anak aunty M sudah pun dewasa dan berkeluarga. Sementara uncle U yang kembali murtad sudahpun bernikah lagi dengan wanita sesama kristian dan mendapat cahaya mata seorang anak perempuan. Sepanjang tempoh setelah perceraian berlaku, hubungan antara anak-anak dan bekas suami sememangnya baik, walaupun mesti selalu "dikawal".

Satu hari, anak sulung aunty M, Abang A, disahkan menghidap kanser peringkat akhir.Di saat abang A dalam keadaan nazak di hospital, alangkah terkejutnya semua orang, uncle U datang bukan sahaja bersama keluarga tetapi lengkap bersama paderi dan pastor gereja. Katanya dia lebih berhak "menghantar kepergian" anaknya kelak. Boleh anda bayangkan, betapa tegangnya suasana hari itu, sehinggakan pihak hospital pun tak boleh nak buat apa. Masing-masing keluarga berkeras dengan pendirian masing-masing. Sang ibu, aunty M, nakkan anaknya "pergi" dalam keadaan memeluk Islam, sebab sememangnya dia yang mendidik dan membesarkan anak-anak dalam cara Islam. Tapi uncle U pula nak anaknya yang nazak tu murtad, katanya agamanya lebih baik.

Akhirnya diambil jalan tengah, biarlah abang A mengambil keputusannya sendiri. Ingat lagi masa tu , abang A tersenyum, tulus, katanya mommy........saya nak ikut mommy. Aunty M bertanya dalam linangan air mata," anak mommy nak tetap dalam Islam, sayang? Abang A menjawab dalam nada lemah tetapi tegas,"yes mommy................. Asyhadu alla ilaha illallah wa asyhadu anna muhammmad rasulullah..................Abang A pergi dengan senyuman, dalam islam.

Anda boleh mengambil iktibar sendiri dari kisah di atas. Kalau perkara berebut anak kerana agama boleh berlaku terhadap anak-anak yang dah besar panjang dan berkeluarga macam tu, inikan pula kalau benda tu berlaku terhadap anak-anak yang masih dalam penjagaan ibu bapa, lagi pening.

Saya amat kesal dengan tindakan kabinet yang meluluskan "peraturan" baru yang menyatakan bahwa jika salah seorang pasangan yang dulunya beragama lain lalu memeluk islam, maka anak-anaknya kekal dalam agama asal ketika mereka berkahwin.

Inilah yang dinamakan dengan keputusan yang langsung tidak senstif terhadap Islam. Islam boleh bertoleransi dengan agama lain tapi itu tak bereti Iislam mesti tunduk dan membiarkan maruahnya dipijak-pijak. Islam adalah satu-satunya agama samawi, agama wahyu, tak ada agama yang lebih baik dari pada Islam. Mengapa kabinet memutuskan sesuatu tanpa berbincang dengan alim ulama yang lebih memahami perkara ini? Kalau dah ada lebih dari 100 NGO Islam menolak keputusan kabinet ini, gunalah akal sikit, siapa sebetulnya yang salah? Saya jadi keliru, betulkah Malaysia ni negara Islam seperti yang selalu diperkatakan?

Thursday, April 23, 2009

Boikot TV: Bolehkah?

Kalau nak dikata bernas, mungkin idea yang diterajui oleh FOMCA di atas, pun tidak juga boleh dikatakan bernas. Mengapa? Jawabannya cukup simple, sebab TV sudah menjadi sebahagian dari kehidupan kita, our daily life. Tanyalah mana-mana orang yang sudah "terbiasa" tengok tv, walaupun mungkin sekedar untuk "meramaikan" rumah yang sunyi, bolehkah dia tak tengok tv walau untuk satu hari sahaja? Saya pasti, jawabannya: tidak. Teringin tak teringin, mesti akan tengok juga, walaupun mungkin sekadar selingan di waktu sibuk.

Yang menjadi masalah sekarang, bolehkah kita "mengawal diri" dari tengok tv? Terutama sekali buat anak-anak dan generasi muda kita. Tengok sahaja berlambak-lambak kartun dalam tv mula dari pukul 8 pagi -11 pagi dan pukul 14-20 malam. Ada sahaja kartun yang menarik hati. Tak kiralah dari dalam atau luar negara. Sehinggakan janganlah hairan kalau tiap hari anda boleh dengar atau mungkin anda sendiri yang terjerit-jerit pada anak-anak nak suruh mereka baca buku, ulang kaji atau mengerjakan homework. Anak-anak kita pula seakan dah "kebas telinga" dengan jeritan ibu bapa. Inilah sebenarnya inti permasalahan. Bagaimana menghadkan masa anak-anak kita untuk menikmati hiburan dalam tv.

Main boikot saja, walaupun cuma seminggu, tidak akan mampu menyelesaikan apa-apa masalah. Yang penting sekarang, bagaimana ibu bapa mendidik anak-anak mereka supaya mengubah kebiasaan menonton tv itu menjadi satu bentuk aktiviti lain yang berkualiti seperti membaca buku atau ulang kaji pelajaran sekolah. Bukan setiap masa dan bukan setiap hari ibu bapa boleh duduk bersama-sama anak-anak mereka untuk menonton tv di rumah sambil memberikan panduan tentang apa yang mereka tonton. Ibu bapa sekarang kebanyakannya adalah super mom dan superdad dengan super busy activitiy di luar. Tak kiralah di bandar mauhupun dikawasan luar bandar, semuanya lebih kurang sama. Satu perkara yang paling menyedihkan, ada pula kartun yang ditayangkan pada waktu maghrib. Lagi pening ibu bapa nak suruh anak sholat magrib.

Yang paling parah sebetulnya adalah apabila si ibu adalah kaki tv. Pantang ada telenovela atau sinetron, mesti stand by depan tv on time. Anak nak makan, layan diri. Anak nak pi tuition, ok cepat pi mak nak tengok sinetron ni. Anak nak main, ok pi main sana, jangan kacau mak nak tengok telenovela. Akhirnya, ibu seronok dok depan tv, anak-anak pula terabai, Itu pun dah kira masalah pula.

Seperti yang selalu saya perkatakan, nak tengok tv tu sah-sah sahaja. Tapi semua mesti ingat waktu. Ertinya, bagi anak-anak kita, kita hadkan menonton tayangan kartun, walaupun mungkin pada awalnya susah sikit. Bagi kaum ibu pula , nak tengok tv pun janganlah sampai melupakan tugas-tugas asas kita dalam keluarga sehingga suami dan anak-anak terabai. Seperkara lagi, kalau dalam menghidangkan makanan kita digalakkan mengurangkan penggunaan garam dan gula, maka mungkin dalam hal tv ni pula kita kurangkan menonton program hiburan yang kurang berfaedah. Carilah program-program tv yang boleh menambah ilmu, memperluas wawasan , mempertajam social sensitivity. Kalau nak kan hiburan pun, carilah yang benar-benar menghiburkan tapi tak melalaikan kita dari tanggung jawab sebagai manusia dan kewajiban kita sebagai hamba Tuhan. Macam mana, boleh kan?

Friday, April 17, 2009

Cukupkah?

Tertarik saya membaca tulisan kecil di sebuah majalah kaum hawa. Katanya, belajarlah berkata cukup........

Saya yakin bab merasa cukup dengan apa yang ada atau qana'ah adalah suatu perkara yang agak sukar bagi kebanyakan orang. Hatta mulut yang asyik terkunci pun, dalam hatinya ada beribu bahkan jutaan impian dan keinginan.

Tengok orang pakai kereta besar, mulalah terpikir, bila agaknya laki patik dapat bonus kereta besar? Bila tengok rumah orang besar dan cantik, hatinya terusik, bila agaknya ada orang nak bagi derma rumah macam ni kat hamba? Bila tengok orang makan serba mewah, mulalah jiwanya merana, alahai ikan kembung, pasal apa hang selalu ada depan mata? Bila tengok jiran beli peti sejuk baru dengan teknologi tercanggih, mulalah mindanya persoal, alahai peti sejukku, bila hang nak buruk ni. Kalau esok buruk, paling hebat pun laki aku hantar hang pi kedai repair. Lambat lagi nak tukar hang na.........

Orang kata ukuran qana'ah atau tidaknya seseorang adalah iman. Tapi jujur saya katakan, dalam bab ni, tak berani lah pula saya bulat-bulat nak menghakimi bahwa orang yang tak qana'ah, kurang imannya. Bab iman sebagai ukuran qana'ah, biarlah kita serahkan pada Tuhan. Apa yang pasti tak kira dalam perkara apapun, konsep berpada-pada dan ukur kain di badan sendiri adalah yang paling sesuai. Apa pendapat anda?

Monday, April 6, 2009

Politik Wang: Sampai bila jadi amalan?

Tentu anda pernah dengar istilah: ada wang abang sayang, tiada wang abang melayang, atau dalam bahasa yang lebih kejam: abang ditendang. Bahkan istilah ini ada pun dalam sebuah lagu, meski saya tak ingat tajuk lagu dan siapa penyanyinya.

Dalam politik pula, wang sebenarnya bukanlah menjadi tujuan. Tetapi sebagai perantara untuk mendapatkan sesuatu yang lebih tinggi, yaitu: kuasa. Sebab hanya orang-orang yang berwang (bukan beruang=bear) sahaja yang akan menjadikan wang sebagai alat, tak pasti adakah kerana wang sememangnya alat yang mudah mereka dapati ataukah kerana ramai yang minat wang atau adakah tiada alat lain yang lebih efektif untuk mencapai target yang diinginkan.

Wang sememangnya menjadi satu keperluan. Dalam kempen pun sudah semestinya wang akan berperanan. Kalau nak ikut cara yang betul, wang akan digunakan untuk beli bendera, membeli juadah seadanya dan beberapa perkara lain yang sememangnya diperlukan untuk memudahkan kejayaan kempen. Tapi kalau nak ikut cara yang salah, wang diguna untuk membeli undi, atau menarik sokongan, dengan harapan orang yang awalnya tak sudi, jadi sudi; yang lawan jadi kawan. Ini yang tak betul.

Hakikatnya wang tak bersalah. Tapi orang yang guna wang untuk tujuan tak betul ini yang bersalah. Bersalah dari sudut hukum dan undang-undang: plus bersalah di hadapan Tuhan nantinya. Walaupun bab Tuhan ini ramai yang sudah tak takut lagi. Mungkin mereka ingat, buat dosa sekarang tak apa, nanti dah tua, sempat lagi bertaubat. Heh, iyalah tu, kalau tak ingat mati memang begitu. Tapi sebetulnya yang terima wang tak betul ini pun dianggap bersalah juga. Takkan tak reti tujuan si pemberi wang. Kalau dah tahu, tak sepatutnya ada alasan, segan nak bagi balik. Takkan anda rela makan duit yang tak betul kerana takut dengan kemurkaan si pemberi wang semata-mata. Sepatutnya takutlah anda makan wang yang tak halal, kalau tak dikira haram pun hakikatnya ia wang syubhat. Orang yang beriman tak mau makan benda syubhat, sebab mungkin ia jatuh ke hukum haram, ada kemurkaan Allah di dalamnya. Lainlah kalau anda ,si penerima wang tak betul, sememangnya sudah tak takut Tuhan lagi. So pikir-pikirkanlah.

Double Standard ala USA

Dunia kembali kecoh dan makin kecoh apabila Korea Utara melancarkan roket berpeluru berpandu. Yang paling kecoh, bak kebakaran janggut sudah pasti USA. Sidang tergempar dibuat di sana-sini, untuk melobi antarabangsa agar segera buat "punishment" untuk negara Korea Utara. Kononnya Korea Utara sudah melanggar undang-undang anti persenjataan tertentu. Tapi yang paling pelik, di Prague, USA berpegang pada dasar lama ala George W Bush untuk meneruskan pembinaaan senjata nuklearnya, walaupun mendapat tentangan hebat dari rakyat di sana. Kononnya, senjata itu perlu untuk menghadapi ancaman nuklear dari Iran.

Agaknya sampai bila-bila pun USA bukanlah negara yang boleh dipercayai. Bermuka 12 itu sudah pasti. Di sini cakap lain, di sana buat lain. Walaupun pemimpin tertinggi negaranya silih berganti. Hakikatnya sistem dan dasar luar negaranya tetaplah sama, asyik menindas negara lain.

Harap-harap di Malaysia tidak berlaku perkara serupa. Kepemimpinan melalui teladan yang pernah dicanangkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu, harap-harap tetap dilaksanakan bahkan semakin menjadi ikutan di bawah pentadbiran PM kita yang baru, Datuk Sri Najib Tun Razak.