Tentu anda pernah dengar istilah: ada wang abang sayang, tiada wang abang melayang, atau dalam bahasa yang lebih kejam: abang ditendang. Bahkan istilah ini ada pun dalam sebuah lagu, meski saya tak ingat tajuk lagu dan siapa penyanyinya.
Dalam politik pula, wang sebenarnya bukanlah menjadi tujuan. Tetapi sebagai perantara untuk mendapatkan sesuatu yang lebih tinggi, yaitu: kuasa. Sebab hanya orang-orang yang berwang (bukan beruang=bear) sahaja yang akan menjadikan wang sebagai alat, tak pasti adakah kerana wang sememangnya alat yang mudah mereka dapati ataukah kerana ramai yang minat wang atau adakah tiada alat lain yang lebih efektif untuk mencapai target yang diinginkan.
Wang sememangnya menjadi satu keperluan. Dalam kempen pun sudah semestinya wang akan berperanan. Kalau nak ikut cara yang betul, wang akan digunakan untuk beli bendera, membeli juadah seadanya dan beberapa perkara lain yang sememangnya diperlukan untuk memudahkan kejayaan kempen. Tapi kalau nak ikut cara yang salah, wang diguna untuk membeli undi, atau menarik sokongan, dengan harapan orang yang awalnya tak sudi, jadi sudi; yang lawan jadi kawan. Ini yang tak betul.
Hakikatnya wang tak bersalah. Tapi orang yang guna wang untuk tujuan tak betul ini yang bersalah. Bersalah dari sudut hukum dan undang-undang: plus bersalah di hadapan Tuhan nantinya. Walaupun bab Tuhan ini ramai yang sudah tak takut lagi. Mungkin mereka ingat, buat dosa sekarang tak apa, nanti dah tua, sempat lagi bertaubat. Heh, iyalah tu, kalau tak ingat mati memang begitu. Tapi sebetulnya yang terima wang tak betul ini pun dianggap bersalah juga. Takkan tak reti tujuan si pemberi wang. Kalau dah tahu, tak sepatutnya ada alasan, segan nak bagi balik. Takkan anda rela makan duit yang tak betul kerana takut dengan kemurkaan si pemberi wang semata-mata. Sepatutnya takutlah anda makan wang yang tak halal, kalau tak dikira haram pun hakikatnya ia wang syubhat. Orang yang beriman tak mau makan benda syubhat, sebab mungkin ia jatuh ke hukum haram, ada kemurkaan Allah di dalamnya. Lainlah kalau anda ,si penerima wang tak betul, sememangnya sudah tak takut Tuhan lagi. So pikir-pikirkanlah.
No comments:
Post a Comment