Semalam kami sekeluarga menerima kedatangan beberapa orang anak muda yang baru berjinak-jinak dengan dunia herba. Dalam sembang-sembang itu salah seorang bertanya kepada saya,"kak ni herbalist kah?". Alahai, terkejutnya saya, agaknya terlalu banyak "petua" yang saya berikan. Hehehe...........
Kebelakangan ini dunia herba semakin mendapat perhatian. Ramai yang mula "menceburkan" diri dalam bidang yang dulunya hanya dianggap sebagai "mainan" bomoh kampung. Bahkan dunia barat sendiri sudah mula beralih pandangan dalam bidang ini. Mereka pun sebenarnya mempunyai keunikan herba tersendiri yang berkenaan dengan sistem cuaca dan 4 musim di sana. Sayangnya, herba di dunia barat dianggap something Asian. Maksudnya herba lebih dianggap sebagai sesuatu yang berasal dari Asia sahaja. Rasa macam tak percaya pula kalau ada yang kata orang Barat punya pengobatan ala herba. Tapi, kelemahan dunia barat sudah semestinya akan menjadi nilai lebih yang menguntungkan Asia tentunya.
Tapi sekadar mengingatkan, menjadi seorang herbalist bukanlah sesuatu yang mudah. Sekali anda sendiri atau orang lain mengiktiraf anda sebagai seorang herbalist, tak kiralah dengan cara apapun, hakikatnya sukar untuk anda berundur. Sekali memulakan maka susahlah pula untuk menyudahinya. Mengapa? Sebab tanpa anda sedari atau tidak, anda perasan kah tidak, ada nyawa insan lain yang menjadi taruhan. Cuba anda bayangkan, seandainya seseorang yang sedang merasa kesakitan yang teramat sangat datang kepada anda dengan harapan anda boleh mengobatinya lalu anda tersilap memberi herba atau herba yang diberi hanya memberi kesan singkat atau bahkan herba yang diberi justru menambah parah penyakit sedia ada, dimanakah tanggung jawab anda? Minta maaf saja takkan mencukupi. Bukan setakat nyawa sang pesakit menjadi taruhan , tapi juga maruah anda dan kepercayaan orang kepada anda akan tercalar.
Memanglah, kalau nak tengok testimoni kejayaan orang-orang yang berjaya diobati tentu rasa seronok, dan mungkin juga bangga. Tetapi langit tak selalu cerah. Seorang herbalist mesti sedar bahwa dia bukan Tuhan, Ia hanya insan biasa yang cuba mengobati bukan menyembuhkan. Kuasa menyembuhkan ada di Tangan Tuhan. Di sinilah letak KEIMANAN dan KEIKHLASAN.
Keimanan akan menjadi pencetus ikhlas tidaknya seorang herbalist dan pada masa yang sama keikhlasan adalah tolok ukur keimanan sesorang herbalist yang hanya boleh dilihat oleh Allah SWT.
Dulu dunia herba pernah dianggap sebagai suatu "alternatif", bukan pilihan utama. dalam bahasa kasar, tak da kerja lain boleh buat, terpaksa buat ini lah..............". Tapi sekarang ramai yang mula melihat herba sebagai sesuatu yang profitable. Bahkan ramai pula yang menganggapnya "terlalu mudah" untuk dibuat.
Hakikatnya, ada 3 perkara yang perlu anda timbang semula jika anda berniat bergabung dalam dunia herba; yaitu MINAT,BAKAT dan KEBERANIAN.
Ibarat rancangan reality, seorang yang berminat menyanyi tak semestinya mempunyai bakat dalam nyanyian, apatah lagi keberanian. Seorang yang berbakat dan mempunyai keberanian menyanyi di depan khalayak ramai, tak semestinya berminat untuk menjadikan menyanyi sebagai karier. Seorang yang hanya bermodalkan keberanian, langsung tak ada bakat dan minat, mesti kena "halau" oleh para juri. Begitulah pula dengan dunia herba, tak semestinya minat, bakat dan keberanian boleh membawa anda ke puncak kejayaan. Memanglah ramai usahawan muda yang lahir dari dunia herba. Bukan setakat mampu beli 2 biji kereta Mercedes tapi mampu juga punya banglo mewah. Tapi hakikatnya tidaklah semudah itu. Ramai juga yang akhirnya menemui kegagalan kerana ada satu lagi faktor penentu yaitu NASIB. Secara matematik memanglah peratusnya sangat kecil, tapi ianya mempunyai impak yang besar, sebab ia berhubung kait dengan QADA dan QADAR .
Apa yang hendak saya sampaikan di sini adalah, apapun bidang yang menjadi pilihan anda, hendaklah anda teliti betul-betul dan nilailah diri sendiri. Untuk itu anda memerlukan orang yang mampu menjadi guru yang bersahabat dan juga menjadi sahabat yang mampu menjadi guru terbaik bagi diri anda. Janganlah anda terlibat dalam bidang yang anda sendiri meraguinya atau terjun dalam bidang itu hanya semata-mata nilai materialnya sahaja. Sebab bimbanglah nanti di saat "angin" mengguncang "pokok" pilihan anda, anda tak tahu sama ada hendak tetap "berteduh" di bawahnya atau "tebang" saja pokok tu lalu mencari pokok lain untuk berlindung. Wallahu'lam.
No comments:
Post a Comment