Seorang sahabat dari jazirah Persia pernah bertanya dengan nada kehairanan, mengapa saya menghantar anak sulung, yang ketika itu baru berumur 5 tahun, ke tadika. Menurutnya , di negaranya, seorang anak hanya akan bersekolah pada usia 7 tahun sahaja, sebelum mencapai usia itu si anak digalakkan untuk "mengaji" dengan ibu bapa.Pendidikan prasekolah ala Malaysia bukanlah menjadi pilihan di sana.
Saya mengakui ada benarnya soalan dan pendapatnya itu. Seorang anak di bawah usia 7 tahun boleh dikatakan sangat senang dibentuk. Ibarat membuat sesuatu dari besi panas. Terpulang kepada si tukang besi hendak dijadikan apa besi panas itu, apakah sebilah pisau atau sebatang tombak yang tajam.Baik buruk perilaku sang anak, dibentuk secara sedar mahupun tidak pada usia dibawah 7 tahun.
Tapi mungkin akan timbul soalan, bagaimana dengan ibu bapa yang bekerja. Takkan nak bawa sama pi pejabat atau kilang kot? Hm, soalan seperti ini bukan senang nak jawab, sebab ada banyak faktor yang perlu ditimbang tara, mengikut persepsi dan keadaan orang yang berkenaan.
Tapi kan, kalaulah kita boleh mengambil jalan tengah, sebetulnya ada perkara yang perlu diperhatikan dengan lebih mendalam:
pertama, ada kalanya ibu bapa "melepas" si anak ke sekolah begitu sahaja. Bab duit, tinggal minta, walhal sebetulnya si anak baru nak mula faham makna seringgit dua. Jangan salahkan siapa-siapa, jika kemudian si anak berubah bak Anakku Sazali. Naudzubillah....Itu dari segi finansial. Dari sudut lain pula....sedar tak sedar ibu bapa kerapkali meletak sepenuh tanggung jawab di bahu cikgu, walhal seorang guru juga hanyalah insan biasa dengan segala kelemahan dan kekurangannya. Yang paling dikesali, bila cikgu menegur kesalahan si anak, ibu bapa pula turun tangan tanpa soal selidik, dan bulat-bulat menyalahkan si cikgu. Kesiannya...nasib cikgu sekarang. Lain dulu lain sekarang, dulu cikgu begitu dipandang hormat, sekarang....silap-silap kena laknat. Naudzubillah....
Kedua,ibu bapa kerapkali beranggapan sukses atau tidaknya si anak kelak dinilai dari segi akademiknya. Kalau bab membaca, menulis dan mengira, itu adalah komponen yang wajib anak-anak kita faham dan kenal seawal mungkin sebagai platform akademiknya kelak, tapi diakui atau tidak sebagai ibu bapa kita kerap terlepas pandang bab pendidikan moral dan akhlaknya. Kalau si anak kerap menempit si kawan, boleh pula kita kata.."biasalah tu, budak kecik", atau ketika si anak membuli si adik...boleh pula kita kata "tak pa ....nanti besak, dia sayanglah adik tu..." tanpa memberi apa-apa respon terus kepada si anak sebagai bentuk pengajaran mana yang betul dan mana yang salah. Bukanlah saya nak suruh ibu bapa pukul anak...tapi adakalanya pukul sayang, cubit manja dan marah adalah sesuatu yang patut anak-anak kita terima supaya mereka faham yang tindakannya salah. Tapi itu sahaja tidak cukup, kita perlu juga memberitahunya perkara mana yang baik dan patut dia lakukan supaya dia tahu bahwa ada hukum sebab musabab dalam dunia ini. Dia kena marah sebab perilakunya yang tidak baik, kerana itu dia perlu berperilaku baik supaya orang pun sayang kepadanya.
Hakikatnya seorang anak kecil belajar melalui apa yang dia lihat, dengar dan alami dalam keseharian. Sedar atau tidak, anak-anak akan mengikut perilaku dan tabiat orang terdekat, dalam hal ini, ibu bapanya. Kerana itu ibu bapa perlulah berusaha menjadi contoh dan role model terbaik untuk anak-anaknya agar anak-anak ini bukan sahaja berjaya dalam segi akademik tapi juga dalam segi pembentukan iman dan akhlaknya.Wallahu'alam.
1 comment:
SALAM PADA ISTERI KU PENULIS BLOG INI. SAMA-SAMA KITA MENJADI AYAH DAN IBU YANG BAIK KEPADA DUA ANAK KITA IZZAH DAN ZAHRA.SOLAWAT
Post a Comment