Saya amat berpuas hati dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengenai tiadanya penetapan tempoh masa berhubung keputusan sama ada untuk memansuhkan atau mengekalkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Sejak isu ini dilontarkan, ramai pihak telah pun memberikan maklum balas, baik secara positif mahupun negatif. Pihak yang bersetuju dengan pemansukhan kedua peperiksaan (atau satu peperiksaan sahaja) berpendapat bahwa ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Sudah masanya untuk melaksanakan sistem pendidikan bertaraf antarabangsa “A Level” atau “O Level”.
Pihak yang tidak bersetuju dengan pemansukhan itu pula berpendapat peperiksaan awam UPSR untuk tahun enam dan PMR untuk tingkatan tiga perlu dikekalkan kerana ia merupakan kayu pengukur bagi tahap pencapaian persekolahan pelajar. Jika peperiksaan tersebut dijadikan penilaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, ini bermakna tiada piawaian menyeluruh di peringkat kebangsaan. Keputusan peperiksaan UPSR (dengan pencapaian) 5A dari sekolah luar bandar mungkin tidak sama nilainya dengan keputusan UPSR 5A dari sekolah di bandar.
Secara pribadi saya berpendapat, cepat atau lambat system A atu O Level sepatutnya digunapakai dalam sistem pendidikan kita. Akan tetapi, alangkah eloknya jika kita tumpukan pada usaha untuk mengemaskini sistem sedia ada terlebih dahulu. Berapa ramai ibu bapa di luar sana yang sekarang ini pun naik pening dek kerana ada sesetengah subjek pembelajaran yang seakan tidak terintegrasi dengan subjek pembelajaran sebelumnya, akibatnya guru kerap dipersalahkan kerana dianggap tidak mengajarkan subjek berkenaan secara “penuh”.
Berapa ramai pula ibu bapa yang kelam kabut kerana berbagai perubahan berlaku….sekejap guna bahasa Malaysia, sekejap ubah pula bahasa Inggris, lalu ubah pula Bahasa Melaysia, selepas itu…..???? Kemana sebetulnya hala tuju sistem pendidikan kita? Apakah kita menginginkan generasi yang cerdik pandai dalam bidang akademik sahaja, ataukah generasi yang lebih sukakan aktiviti ko-kurikulum sahaja ataukah generasi yang seimbang diantara keduanya? Itu dah satu hal.
Perkara lain pula yang patut dipikirkan adalah bagaimana menyeimbangkan kemampuan pelajar luar bandar dengan pelajar di bandar. Itu belum dikira lagi dengan berapa ramai pelajar sekolah rendah yang kemampuan 3M-nya (Membaca,Menulis,Mengira) belum pada tahap yang memuaskan. Tambahan pula dengan sekolah-sekolah yang tidak memiliki sarana dan prasarana yang mencukupi seperti di Sabah dan Serawak sehingga membantutkan aktiviti pembelajaran semasa.
Sudah bersediakah kita untuk selangkah lagi ke depan walhal masih ada banyak perkara yang perlu diperkemas dan kita pikirkan jalan penyelesaiannya.
Apa yang penting sekarang adalah kita sepatutnya menyediakan platform yang lebih kukuh untuk sistem pendidikan di masa hadapan. Mungkin dalam 10 atau 20 tahun yang akan datang barulah Negara ini bersedia untuk melaksanakan sistem pendidikan bertaraf antarabangsa.
Ini bukanlah pandangan “pessimistic”, tapi pandangan yang paling rasional setakat ini. Jangan kerana “burung terbang tinggi, punai di tangan dilepaskan”.
No comments:
Post a Comment