Tak ada seorang pun di dunia ini yang mampu memuaskan hati semua orang. Hatta seorang pemimpin besar dari sesebuah negara pun tidak akan pernah luput dari kritikan dan mungkin .....makian.
Sebagai seorang pemimpin, yang diamanahkan tangung jawab besar oleh rakyat, apapun bentuk ketidakpuasan hati rakyat, hendaklah disikapi secara positif dan wajar. dalam arti kata, menjadikan seorang pemimpin itu lebih bersemangat dan termotivasi untuk memberikan yang terbaik bagi rakyat.
Sebagai rakyat pula, tidak salah, jika ingin menyuarakan ketidakpuasan hati pada para pemimpin. Pemimpin bukan setakat berhak tahu tapi wajib tahu dan ambil tahu keadaan sebenar rakyat yang dipimpinnya. Hanya sahaja, dalam meluahkan ketidakpuasan hati itu, ketidakselesaan itu atau mungkin...kemarahan itu hendaklah disampaikan dengan cara yang baik. Tidak melanggar norma kesopanan dan budaya ketimuran kita yang selama berabad-abad telah pun mendarah daging dalam segenap lapisan masyarakat kita.
Mari kita analogikan seperti ini:
Seseorang tiba-tiba datang lalu memaki hamun anda kononnya anda sudah membuang sampah di laman rumahnya. Bukan setakat memaki, orang itu pun turut menampar dan menumbuk anda bertubi-tubi. Agak-agak, apa reaksi anda? Silap hari bulan, secara semula jadi anda akan balas menumbuk orang tersebut. Akibatnya, masalah bukan sahaja tiada kesudahan, malah makin berpanjangan dan bertambah dengan masalah baharu pula.
atau:
Seseorang mendatangi anda dengan wajah penuh senyum sambil mengucapkan salam, lalu dengan bahasa yang santun menerangkan bahwa dia tidak suka anda membuang sampah di laman rumahnya. Agak-agak, apa respon anda? Secara semula jadi anda akan berasa malu lalu meminta maaf pada orang itu dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan yang menyusahkan orang itu. Masalah pun selesai. Anda dan orang itu, sama-sama berasa tenang, bila-bila masa bersua lagi tidak akan bermasam muka.
Anda boleh memilih salah satu diantara 2 analogi itu. Apapun pilihan anda, akan mencerminkan seberapa dalam budaya santun tertanam dalam diri anda. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment