Condemn Israel!!!!!

Friday, January 7, 2011

Cermin

Sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya, macam-macam cerita. Mulai dari "susah payah" nak dapatkan bantuan bencana banjir hingga persiapan untuk persekolahan anak-anak di tahun 2011.

Cakap bab banjir, seumur hidup saya, baru kali itulah saya rasakan "seksanya" bersesak sesak dengan ribuan orang di dewan sivik Arau untuk menerima bantuan banjir dari kerajaan sebanyak RM 500 yang diserahkan melalui ADUN Tambun Tulang yang juga bekas MB PERLIS. Alahai, nama pun wang, siapa pun sukakannya.Di tengah panas cuaca membahang, penduduk yang beratur sejak pukul 2 petang seakan tak mampu lagi menahan luahan emosi dek kerana birokrasi yang serba kacau dan tak teratur. Sehinggakan ada yang pengsan, ada pula budak-budak kecil menangis kerana lama terhimpit kanan kiri depan belakang bahkan ramai pula yang menjerit-jerit penuh emosi hendak gunakan kekerasan kononnya.

Paling menyedihkan, setelah berasak-asak sedemikian rupa untuk mendapatkan kupon dan memberikan cap ibu jari, hanya sekitar 1300 orang yang namanya tersenarai untuk mendapatkan bantuan hari itu. Sementara lebih 400 orang lagi, entah dimana silapnya, tiada nama dalam senarai. Apalagi, ramai yang merungut.Nasib baik, janji ADUN Tambun Tulang untuk menyelesaikan perkara itu sebelum tahun baru 2011, dipercayai ramai, kalau tidak tentu lebih kecoh suasana dalam dewan itu jadinya.

Bab persekolahan pula, macam-macam kerenah dan keperluan budak yang baru nak memulakan sesi persekolahan. Maka tak hairanlah, kedai-kedai baju dan buku penuh sesak dengan pembeli. Alhamdulillah, ananda sulung kami memulakan sesi persekolahannya dengan baik meski kalaulah boleh sedikit complain, rasanya tak patut betul budak-budak sekolah sekarang bawa buku terlalu banyak, tebal pula tu. Risau patah pinggang mereka atau terjatuh dari tangga kerana membawa beg yang terlalu berat. Na'udzubillah.

Cabaran dunia pendidikan kini semakin berat. Ibu bapa kena beri lebih tumpuan pada anak-anak. Komunikasi yang baik dengan guru-guru di sekolah dan ibu bapa murid lain perlu juga dijalin.

Apapun perkara yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini, mungkin boleh menjadi cermin untuk menilai segala silap salah dan kekurangan sebelum ini...... dan menjadikannya sebagai acuan yang "jujur" untuk melangkah lebih baik di tahun-tahun mendatang. Wallahu'alam.

No comments: