Condemn Israel!!!!!

Friday, January 14, 2011

Ikan Bilis, Ikan Jerung

Si bungsu sering bertanya,"Mama, ikan jerung boleh dimakan tak? Saya akan tanya dia balik, boleh habis kah makan sorang-sorang?". Si kakak pantas menjawab,"Mana boleh...tak sedap pun". Si bungsu berseloroh,"Jadi gemuk...macam giant kan Mama...hehehe..."

Dalam dunia jenayah, saya lebih suka membahasakan penjenayah kecil dengan sebutan ikan bilis, sementalah penjenayah besar dengan sebutan ikan jerung. Sekedar analogi untuk memudahkan kita memahami betapa hitam dan licinnya dunia itu.

Tanyalah pada sesiapa sahaja, tentu tak ada yang sukakan jenayah, baik sebagai pelaku mahupun objeknya. Kerana itu setiap jenayah tak kira ringan atau berat sudah semestinya diadili dengan seadil-adilnya.

Dulu perbuatan jenayah sangat "ringan", setakat mencuri ayam atau kambing untuk dibakar sambil melepak di depan unggun api ketika hujung minggu. Orang kata...biasalah anak muda, baru nak kenal dunia.

Tapi kini jenayah yang ringan berkembang menjadi sesuatu yang menakutkan, bukan setakat di dunia kasat mata tapi juga melalui dunia magis ala perbomohan dan dunia maya seperti penipuan via internet.

Sistem perundangan dan peradilan di negara ini boleh dikatakan lengkap meski ada kalanya masih ada juga penjenayah yang boleh "cuci tangan" dengan taktik kotornya. Kerana itu sistem hukum sedia ada sudah sepatutnya digubal dengan lebih terperinci sehingga bukan hanya ikan-ikan bilis yang akan terima padah tetapi juga "the untouchable/the invisible" alias ikan-ikan jerung juga boleh masuk dalam perangkap hukum dan keadilan.

Ikan bilis patut menerima hukuman agar tidak timbul kecemburuan antara sesama ikan bilis kerana ada ikan bilis yang bebas lepas, ada pula yang terjerat oleh perundang-undangan. Selain itu menghukum ikan-ikan bilis akan menjadi satu faktor pengajaran bagi para ikan bilis lainnya agar serik dan tidak mempunyai peluang untuk menjadi ikan jerung. (Meski dalam dunia sains, memanglah belum dijumpai lagi ikan bilis yang bersaiz ikan jerung atau ikan bilis yang bertransformasi menjadi ikan jerung...hehehehe.....)

Menghukum ikan jerung pula sangat bererti kerana dengan demikian tidak timbul kecelaruan mengapa hanya ikan bilis terima padah sedangkan ikan jerung tidak sehingga akan menyebabkan ketidakpercayaan masyarakat dengan sistem perundangan dan peradilan sedia ada. Selain itu menghukum ikan jerung akan menutup peluang untuk para ikan jerung memobilisasi ikan bilis ala mafia dan berkolaborasi antara sesama ikan jerung yang tentunya akan lebih membahayakan stabiliti negara. Ambil contoh, Mexico dan Brazil...tak habis-habis dengan perang antara geng pengedar dadah, sehingga pihak polis mereka pun rasa nak "give up".

Apapun, saya yakin dengan kerjasama berbagai pihak,kita akan mampu mewujudkan dunia yang bersih dari jenayah. Mari sama-sama kita perangi jenayah.Wallahu'alam.

1 comment:

Ferry said...

Rangkaian kata Sangat-sangat indah...

http://www.oasisairminum.blogspot.com