Hidup ini ada pasang dan surut. Roda kehidupan pula berputar mengikut hukum dan kehendak Allah. Ada kalanya di atas, ada kalanya pula di bawah. Ketika kita berada di kemuncak kehidupan, kita rasakan segalanya indah dan baik belaka. Sehingga ada kalanya lupa dengan orang-orang yang berada di bawah. Namun, pabila Allah berkehendak, dijadikan-Nya pula kita berada di bawah, dihimpit dan terhimpit seribu satu beban dan kesusahan, barulah segelintir kita mahu tengadah.
Tak seorang pun yang inginkan kesukaran dalam hidup. Namun apabila keadaan sedemikian berada di depan mata, maka kembalikan segalanya hanya kepada Allah. Sungguh bertuah orang-orang yang ketika berdepan dengan begitu banyak dugaan dan rintangan, masih mendapatkan sokongan padu dan kasih sayang tak berbelah bagi dari ibu bapa, adik abang dan kakak,pasangan hidup ataupun sahabat handai.Tetapi ada ketikanya semua itu seakan tak menjadi, keresahan demi keresahan tetap bermain dalam minda. Ketika inilah seorang insan bukan sahaja mesti banyak berdoa dan memohon pertolongan dari Allah, tapi juga bermuhasabah diri dan tetap berfikiran positif.
Pernah dulu pakcik saya memberi nasihat sebegini: Kalau orang lain boleh, mengapa kita tak boleh?Bukankah rambut sama hitam????......Ayat ini menyedarkan saya bahwa hakikatnya semua insan mempunyai potensi dan peluang yang sama. Yang membezakan hanyalah seberapa kuat usahanya, seberapa kuat azzamnya untuk meraih kejayaan.
Pakcik juga pernah bertanya,"Seumpama di hadapanmu ada sebuah longkang besar. tak da jalan lain untuk pergi ke seberang. Apa nak buat? Nak melompati longkang tu atau tidak? Dengan teragak-agak saya menjawab,"lompat, kot....".
Lalu beliau berkata,"kalau dari awal awak meragui keputusan awak, nak melompat kah tidak, itu bererti awak dah gagal sebelum berbuat.Kalau awak pikir, awak akan terjatuh ke dalam longkang ketika melompatinya, maka yakinlah awak memang akan jatuh. Tetapi jika sedari awal awak yakin awak boleh melompati longkang itu tanpa sebarang masalah, maka awak mesti akan berjaya."
Berfikir positif bererti meletakkan diri kita pada keadaan yang paling strategik. Dengan berfikir positif, kita akan mampu melihat semua peluang yang ada untuk lebih berjaya, menjadikan segala beban dan rintangan sebagai batu anjakan untuk seribu langkah ke hadapan. Yakinlah bahwa dengan azzam yang kukuh, usaha yang kuat ,doa yang tak putus-putus,kejayaan boleh dikecapi. Sesungguhnya Allah tak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment