Ketika saya menulis blog ini, saya langsung tak sempat lagi melayari blog-blog lain atau website lain yang berkenaan dengan tajuk di atas. Panduan saya semata-mata apa yang saya sempat tonton dalam Perhimpunan Agung UMNO di TV3. Maksud saya, apa pun yang saya akan perkatakan di sini sesungguhnya ianya murni pendapat pribadi saya, tanpa pengaruh luar dan harap-harap, janganlah anda pertikai pendapat ini pula. bukan kah di Malaysia kita bebas mengeluarkan pendapat?
Rindu, mungkin itu yang saya boleh ungkapkan ketika nampak kehadiran Tun Mahathir dan istri dalam Perhimpunan Agung UMNO. Beliau merupakan seorang tokoh negarawan yang saya sangat minati, terlepas dari segala "kelemahan" dan "keburukan" yang ada pada diri beliau baik dari sudut pandang kawan atau lawan politik beliau. Saya amat mengagumi beliau bukan sahaja kerana beliau seorang negarawan yang ulung, tapi juga teknokrat negara dan seorang yang sangat arif dalam bidang ekonomi dan kewangan.
Kagum, itu yang boleh saya gambarkan atas segala idea dan pendapat beliau dari dulu hingga sekarang yang sudah pun membawa Malaysia ke satu peringkat kemajuan yang patut dibanggakan. Idea-idea beliau, walaupun adakalanya dianggap tak "bernas" dan bahkan dianggap "terlalu tajam dan menyakitkan", sesungguhnya kerap kali ada kebenaran dan kebaikan di sebaliknya, idea yang lahir bukan sahaja dari cara berpikir yang kritis tapi juga berdasarkan pengalaman dan pandangan jauh ke masa hadapan. Tak kiralah idea itu pada akhirnya akan membawa "pertikaian" pandangan atau tidak, hakikatnya amat jarang ada orang yang berani mengeluarkan idea dan pendapat sedemikian, mungkin kerana takut dilabel "jahat" atau "bodoh".
Apapun, saya sangat bersetuju dengan penglibatan kembali beliau dalam kancah politik negara, kerana saya yakin di sebalik "sisi negatif" beliau, terlalu banyak "nilai positif" yang belum lagi kita ketahui. Setakat ini, belum ada tokoh yang mampu menandingi keunggulan beliau. Harap-harap di masa hadapan akan lahir lebih banyak generasi yang "sehebat" beliau dan bahkan lebih hebat lagi. Amin.
No comments:
Post a Comment