Condemn Israel!!!!!

Sunday, March 22, 2009

Ketika "Datuk" Jadi Rebutan

Jumat lepas berkesempatan jua saya tengok sebuah film melayu berlatarbelakangkan era penjajahan Jepun di bumi Malaysia. Honestly, saya memang tak pernah tengok film- film seumpama itu secara full episode. Termasuk juga kali ini. Janganlah dikata saya tak berjiwa nasionalis, tapi saya memang tak tergamak nak tengok sesetengah scene yang menggambarkan kekejaman penjajah. Mesti tutup muka, atau paling tidak pun tutup sebelah mata kerana takut. Kalau nak dibandingkan dengan tengok cerita hantu, pada saya film-film berunsurkan kisah penjajahan sememangnya lebih menakutkan, kesannya lebih mendalam. Kalau takut hantu, baca ayat Kursi, hilang rasa takut. Tapi kalau tengok film ini, rasa bercampur-campur dalam hati tak semudah itu nak hilang. Takut juga kalau benda tu, penjajahan tu berlaku pula di masa hadapan, bimbang pula dengan nasib anak-anak kalau perkara sedemikian berlaku. Tak putus-putus doa dalam hati semoga tak berlaku lagi penjajahan seumpama itu.

Dulu, kalau orang tanya pasal apa si fulan atau si fulanah dapat gelaran Datuk atau Datuk Sri atau seumpamanya, mesti orang akan jawab: Kerana banyak jasa si fulan/fulanah pada negara. Bukanlah saya nak melaga-lagakan mana-mana pihak, tapi dulu gelaran kehormat seperti itu sememangnya dianggap "suci",kerana hanya orang yang banyak menyemai budi dan menanam jasa sahaja yang layak mendapatnya. Tapi sekarang nilai "kesucian" itu mula berkurangan, dek kerana tangan-tangan jahat yang memperjualbelikan gelaran kehormat itu. Sekarang ni, jangan hairan, kalau dalam sembang-sembang, orang tanya, betulkah si fulan tu datuk? Kecuali apabila sememangnya datuk/datuk sri yang dimaksud kerap masuk dalam tv.

Mungkin dalam pandangan orang sekarang, gelaran kehormat seperti itu hanya dipandang dari sisi materi sahaja. Kononnya, kalau datuk, mesti senang buat bisnes, ramai orang hormat dan sebagainya, yang lebih menjurus kepada nilai-nilai prestige dalam kehidupan sosial semata-mata. Tapi sejak berlakuya banyak kes yang menggunakan gelaran datuk sebagai senjata, rasanya gelaran kehormat ini sudah pun dipandang serong dalam masyarakat. Bukan lagi sesuatu yang benar-benar dapat dipercayai ataupun dihormati.

Tapi kalau nak dipandang dari sisi banyak tidaknya jasa seseorang pada negara, rasanya ramai arwah pejuang yang akan bangkit dari kubur menuntut gelaran tersebut. Minta maaflah kalau bahasa saya ini terlalu kasar. Saya cuma nak kita semua sedar bahwa bab jasa ni bukanlah sesuatu yang boleh dikira dengan mudah . Manalah para arwah pejuang tahu yang negara ni akan merdeka dan berjaya dek kerana jasa mereka. Yang pasti ketika mereka berjuang, mereka cuma mahukan kehidupan yang damai sejahtera untuk anak-cucu mereka. Yang pasti tak terpikir pun dalam minda mereka yang mereka kelak akan dianggap wira negara. Sekiranya kita nak membalas jasa mereka pun rasanya perjuangan mereka tak kan pernah terbayar. Walaupun kita berikan seisi dunia ini pada mereka. Kesakitan, keperitan hidup, penderitaan, tangisan dan peluh yang tercurah ketika berjuang takkan pernah sepadan dengan perhargaan yang kita berikan, walaupun kita bagi mereka gelaran datuk atau seumpamanya. Apa yang penting, kalau memang kita nak menghargai mereka,maka belalah nasib wira yang masih hidup dan pertahankan kedaulatan negara ini dengan sebaik-baiknya.

Berjasa biarlah banyak, tak perlu dikira-kira. Berjasa biarlah dengan keikhlasan. Ertinya kalau tidak dapat gelaran kehormat pun, sesungguhnya Tuhan lebih tahu macam mana nak balas jasa kita. Lagi satu, kalau tak dapat gelaran Datuk/Datin pun ,sekiranya Allah lanjutkan usia kita, kita pun akan bergelar datuk juga. Datuk/Nenek, kepada cucu-cucu kita. Bukankah itu lebih bermakna?

No comments: