Saya bersetuju dengan pandangan seorang pakar dalam sebuah dialog di RTM semalam, dalam pembahasan mengenai Haiti: Bukan sekedar Gempa Bumi. Menurut beliau, pendidikan hendaklah menjadi keutamaan dalam sesebuah negara.
Pendidikan akan menentukan berkualitas atau tidaknya sesuatu bangsa. Pendidikan jugalah yang akan menjadi penentu hala tuju sesebuah negara. Ambil contoh Jepun, pelaburannya dalam dunia pendidikan membuahkan hasil yang begitu cemerlang, kemajuan dalam teknologi dan inovasi yang setara dengan USA. Tengok pula Korea Selatan, dalam diam mereka pun mula bangkit sebagai gergasi ekonomi dan teknologi yang berusaha mensejajarkan diri dengan Jepun bahkan sudah pun meluaskan rangkaian ekonomi dan teknologinya ke beberapa negara Asia dan Arab seperti Oman.
Saya melihat sudah pun banyak usaha yang dilakukan kerajaan Malaysia untuk menaiktaraf sistem pendidikan meski ada kalanya timbul perdebatan dan kelemahan di sana-sini. Anggaplah ianya suatu pengajaran berasaskan pengalaman untuk menjadikan sitsem pendidikan di negara ini menjadi lebih baik lagi, dalam berbagai aspek seperti akademik, extra kurikulum maupun aspek keagamaan.
Hanya sahaja, yang mungkin terlepas pandang oleh kita, apatah lagi sebagai ibu bapa adalah apa sebenarnya tujuan kita memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak. Jawabnya tentu saja supaya mereka menjadi orang yang berjaya kelak. kalau kita ajukan kembali soalan....berjaya yang macam mana?........Ramai diantara kita yang merujuk kejayaan itu kepada sesuatu yang bersifat materi atau kebendaan. Kita mahu anak kita memiliki kebendaan yang banyak, nama yang dijulang tinggi atau berbagai bentuk keselesaan dan keseronokan hidup lainnya.
Tapi pernahkah kita tanamkan dalam diri anak-anak bahwa menuntut ilmu, belajar ......hendaklah dilakukan dengan ikhlas. Segala sesuatu ada yang mengatur. Siapa? Rabbul Izzati tentunya. Berjaya atau tidak seseorang itu setelah melalui proses pendidikan yang panjang dan memenatkan pada akhirnya akan kembali kepada Tuhan, Sang pemilik segala kebendaan, Sang pemilik segala pujian dan Sang pemilik semesta alam.
Terlalu kerdil jika masih tertanam dalam minda anak-anak kita bahwa mereka belajar dek kerana nak mendapat markah yang tinggi, atau kerana nak mendapatkan pujian dan perhargaan dari para cikgu dan sesama rakan sekolah atau kampus. Sehingga ada yang sanggup bertungkus lumus sedemikian rupa tetapi akhirnya kecewa kerana hasil tak setara dengan usaha yang diberi atau bahkan melencong jauh dari target yang diharapkan. Keadaan makin bertambah teruk apabila ibu bapa juga memberikan tekanan berupa tindak balas emosional yang negatif sehingga anak-anak merasa usaha mereka tidak dihargai.
Pendidikan yang hendak berikan kepada anak-anak kita sepatutnya bukan sahaja dari segi minda dan tubuh badan (aktiviti luar/lasak), tapi mari kita berikan juga pendidikan rohani/keagamaan supaya ianya seimbang. Tanamkan pada anak-anak kita bahawa setiap aktiviti hendaklah dilakukan dengan niat yang ikhlas, penuh pengharapan kepada Tuhan dan apabila sudah berjaya nanti jangan lupa pada orang yang berada "di bawah". Tetapi apabila menemui kegagalan, tanamkan bahwa semuanya adalah pengalaman yang berharga, sebuah batu anjakan untuik lebih maju kehadapan.
Ibarat seorang saintis muslim. Tidaklah dikatakan seeorang itu saintis apabila baru gagal dalam satu dua eksperimen lalu berundur, menyerah kalah. Seorang saintis semangat dan mindanya sentiasa tercabar untuk berbuat lebih baik lagi dengan hasil yang lebih sempurna serta sentiasa meletakkan pengharapan besar kepada Allah SWT. Sebagai muslim pula, apabila dia berjaya dalam eksperimennya sehingga membuahkan hasil cemerlang, dia akan bersyukur kepada Allah. Tetapi apabila gagal, jiwanya sentiasa tunduk kepada keagungan dan keridhaan Allah SWT. Wallahu'alam.
1 comment:
Negara yang menjadikan pendidikan itu sebagai pelaburan maka negara itu akan berjaya. Saya melihat contohnya Iran yang berjaya menghasilkan teknologi angkasa lepas setelah negara itu meletakan pendidkan sebagai satu pelaburan.
Post a Comment