Condemn Israel!!!!!

Saturday, March 28, 2009

Kembali ke Era Mahathir?

Ketika saya menulis blog ini, saya langsung tak sempat lagi melayari blog-blog lain atau website lain yang berkenaan dengan tajuk di atas. Panduan saya semata-mata apa yang saya sempat tonton dalam Perhimpunan Agung UMNO di TV3. Maksud saya, apa pun yang saya akan perkatakan di sini sesungguhnya ianya murni pendapat pribadi saya, tanpa pengaruh luar dan harap-harap, janganlah anda pertikai pendapat ini pula. bukan kah di Malaysia kita bebas mengeluarkan pendapat?

Rindu, mungkin itu yang saya boleh ungkapkan ketika nampak kehadiran Tun Mahathir dan istri dalam Perhimpunan Agung UMNO. Beliau merupakan seorang tokoh negarawan yang saya sangat minati, terlepas dari segala "kelemahan" dan "keburukan" yang ada pada diri beliau baik dari sudut pandang kawan atau lawan politik beliau. Saya amat mengagumi beliau bukan sahaja kerana beliau seorang negarawan yang ulung, tapi juga teknokrat negara dan seorang yang sangat arif dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Kagum, itu yang boleh saya gambarkan atas segala idea dan pendapat beliau dari dulu hingga sekarang yang sudah pun membawa Malaysia ke satu peringkat kemajuan yang patut dibanggakan. Idea-idea beliau, walaupun adakalanya dianggap tak "bernas" dan bahkan dianggap "terlalu tajam dan menyakitkan", sesungguhnya kerap kali ada kebenaran dan kebaikan di sebaliknya, idea yang lahir bukan sahaja dari cara berpikir yang kritis tapi juga berdasarkan pengalaman dan pandangan jauh ke masa hadapan. Tak kiralah idea itu pada akhirnya akan membawa "pertikaian" pandangan atau tidak, hakikatnya amat jarang ada orang yang berani mengeluarkan idea dan pendapat sedemikian, mungkin kerana takut dilabel "jahat" atau "bodoh".

Apapun, saya sangat bersetuju dengan penglibatan kembali beliau dalam kancah politik negara, kerana saya yakin di sebalik "sisi negatif" beliau, terlalu banyak "nilai positif" yang belum lagi kita ketahui. Setakat ini, belum ada tokoh yang mampu menandingi keunggulan beliau. Harap-harap di masa hadapan akan lahir lebih banyak generasi yang "sehebat" beliau dan bahkan lebih hebat lagi. Amin.

Sunday, March 22, 2009

Ketika "Datuk" Jadi Rebutan

Jumat lepas berkesempatan jua saya tengok sebuah film melayu berlatarbelakangkan era penjajahan Jepun di bumi Malaysia. Honestly, saya memang tak pernah tengok film- film seumpama itu secara full episode. Termasuk juga kali ini. Janganlah dikata saya tak berjiwa nasionalis, tapi saya memang tak tergamak nak tengok sesetengah scene yang menggambarkan kekejaman penjajah. Mesti tutup muka, atau paling tidak pun tutup sebelah mata kerana takut. Kalau nak dibandingkan dengan tengok cerita hantu, pada saya film-film berunsurkan kisah penjajahan sememangnya lebih menakutkan, kesannya lebih mendalam. Kalau takut hantu, baca ayat Kursi, hilang rasa takut. Tapi kalau tengok film ini, rasa bercampur-campur dalam hati tak semudah itu nak hilang. Takut juga kalau benda tu, penjajahan tu berlaku pula di masa hadapan, bimbang pula dengan nasib anak-anak kalau perkara sedemikian berlaku. Tak putus-putus doa dalam hati semoga tak berlaku lagi penjajahan seumpama itu.

Dulu, kalau orang tanya pasal apa si fulan atau si fulanah dapat gelaran Datuk atau Datuk Sri atau seumpamanya, mesti orang akan jawab: Kerana banyak jasa si fulan/fulanah pada negara. Bukanlah saya nak melaga-lagakan mana-mana pihak, tapi dulu gelaran kehormat seperti itu sememangnya dianggap "suci",kerana hanya orang yang banyak menyemai budi dan menanam jasa sahaja yang layak mendapatnya. Tapi sekarang nilai "kesucian" itu mula berkurangan, dek kerana tangan-tangan jahat yang memperjualbelikan gelaran kehormat itu. Sekarang ni, jangan hairan, kalau dalam sembang-sembang, orang tanya, betulkah si fulan tu datuk? Kecuali apabila sememangnya datuk/datuk sri yang dimaksud kerap masuk dalam tv.

Mungkin dalam pandangan orang sekarang, gelaran kehormat seperti itu hanya dipandang dari sisi materi sahaja. Kononnya, kalau datuk, mesti senang buat bisnes, ramai orang hormat dan sebagainya, yang lebih menjurus kepada nilai-nilai prestige dalam kehidupan sosial semata-mata. Tapi sejak berlakuya banyak kes yang menggunakan gelaran datuk sebagai senjata, rasanya gelaran kehormat ini sudah pun dipandang serong dalam masyarakat. Bukan lagi sesuatu yang benar-benar dapat dipercayai ataupun dihormati.

Tapi kalau nak dipandang dari sisi banyak tidaknya jasa seseorang pada negara, rasanya ramai arwah pejuang yang akan bangkit dari kubur menuntut gelaran tersebut. Minta maaflah kalau bahasa saya ini terlalu kasar. Saya cuma nak kita semua sedar bahwa bab jasa ni bukanlah sesuatu yang boleh dikira dengan mudah . Manalah para arwah pejuang tahu yang negara ni akan merdeka dan berjaya dek kerana jasa mereka. Yang pasti ketika mereka berjuang, mereka cuma mahukan kehidupan yang damai sejahtera untuk anak-cucu mereka. Yang pasti tak terpikir pun dalam minda mereka yang mereka kelak akan dianggap wira negara. Sekiranya kita nak membalas jasa mereka pun rasanya perjuangan mereka tak kan pernah terbayar. Walaupun kita berikan seisi dunia ini pada mereka. Kesakitan, keperitan hidup, penderitaan, tangisan dan peluh yang tercurah ketika berjuang takkan pernah sepadan dengan perhargaan yang kita berikan, walaupun kita bagi mereka gelaran datuk atau seumpamanya. Apa yang penting, kalau memang kita nak menghargai mereka,maka belalah nasib wira yang masih hidup dan pertahankan kedaulatan negara ini dengan sebaik-baiknya.

Berjasa biarlah banyak, tak perlu dikira-kira. Berjasa biarlah dengan keikhlasan. Ertinya kalau tidak dapat gelaran kehormat pun, sesungguhnya Tuhan lebih tahu macam mana nak balas jasa kita. Lagi satu, kalau tak dapat gelaran Datuk/Datin pun ,sekiranya Allah lanjutkan usia kita, kita pun akan bergelar datuk juga. Datuk/Nenek, kepada cucu-cucu kita. Bukankah itu lebih bermakna?

Tuesday, March 17, 2009

Pandai Lebih

Rasanya sudah ramai yang lali dengan kes-kes pecah amanah, tak kiralah di dalam atau luar negara. Lali, mungkin kerana sudah kerap berlaku. Harap-harap ianya bukan sesuatu yang permissible atau "boleh diterima" dalam masyarakat. Baru-baru ini pula kita dikejutkan dengan "kerenah" dokter yang menjadikan kliniknya lab pemrosesan ubat batuk sendiri dalam skala yang cukup besar. Benar atau tidaknya kes ini, sebetulnya sudah pun ada beberapa kes serupa. Hanya saja, mungkin tak berapa mendapat perhatian sebelum ini.

Tak kiralah ianya kes yang berhubung kait dengan dunia korporat, medikal dan sebagainya, rasanya ramai yang boleh mengagak ianya berlaku dek kerana wang. Ada wang sikit, nak wang banyak. Ada wang banyak pun rasa macam tak puas lagi. Tapi mungkin yang sedikit terlepas pandang ialah, ianya berlaku kerana terlebih pandai atau pandai lebih. Boleh jadi tercabar juga egonya untuk buat something extraordinary, apalagi memang si diri ada pun "kemahiran" dalam bab tu. Sekali cuba, "terlepas", nak buat pula kali kedua. Demikianlah seterusnya sampai diri sendiri tak sedar bak kata pepatah: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

Teringat saya dengan kisah ini:
-Di awal cerita
A seorang ahli MLM produk herba. Baru bergabung, semangat berapi-api.

-Di tengah cerita
Kerana penyakit segan bin malas, A biar rumput lalang tumbuh subur di kebun arwah ayahnya yang seluas 2 hektar tu. Katanya, rumput lalang boleh jadi ubat. Itu yang dia belajar kat dia punya leader. Katanya lagi, kalau dia sendiri boleh "buat" ubat, buat apa nak susah-susah dok kat MLM tu pulak. Dah ada ilmu, kena diguna. Bolehlah dapat duit "lebih".

-klimaks cerita
Jiran sebelah rumah C terpaksa dimasukkan ke hospital selepas makan "ubat" hasil tangan A, yang kononnya pakar herba tu.

-di akhir cerita
Nasib baik C yang keracunan sempat diselamatkan. Tapi A pula akhirnya mesti berdepan dengan saman.

Apa maksud cerita diatas, sila pikir sendiri.

Online Insult: Inikah budaya kita?

"Tak cerdik". Itu antara komen yang sempat saya dengar berkenaan tertangkapnya beberapa orang yang dikatakan membuat online insult terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Tak berapa pasti apa maksudnya, adakah dianggap tak cerdik kerana tak simpan maklumat pribadi atau adakah dianggap tak cerdik kerana "pecah rahsia" yang menyebabkan mereka tertangkap. Wallahu'alam.

Anda tentu mengetahui beberapa istilah antaranya: Lisan lebih tajam daripada mata pedang atau Mata pen lebih tajam daripada lisan atau ungkapan lain seumpamanya. Macam mana pula dengan sekarang, dah ada kemudahan online, apa pepatah nak buat? Hmm.....pada hakikatnya lebih kurang samalah. Sebab tak kiralah apapun bentuk tulisan online, ia adalah ungkapan hati, jiwa dan pikiran penulis. cuma mungkin yang menjadi pembeza antara penulis yang "berilmu" dan tidak adalah sejauh mana ia boleh mengungkapkan rasa tak puas hatinya dengan cara yang bijak, berpada-pada tapi mengena ke sasaran atau orang yang hendak dituju.

Saya yakin semua sependapat bahwa kalau sedang marah atau tak puas hati, memanglah susah nak kawal hati. Nak meletup saja rasanya. Dan sudah semestinya tak semua orang bijak mengawal kata-kata ketika itu. Bagi yang "lebih bijak", mungkin lebih selesa "meletupkan diri" melalui tulisan. Samada ianya berkesan atau tidak, sememangnya orang tersebut tak kan peduli lagi. Janji habis geram, sudahlah. Mengenai akibat dari perbuatan itu, tak ramai yang ambil peduli. Sudah terhantuk, baru tengadah.

Apa yang pasti sebenarnya, tak ada seseorang pun di dunia ini yang mampu memuaskan hati semua pihak. Dalam kesempurnaan pun akan ada cacat celanya. Kalaulah anda yang menjadi pihak yang dihina, bolehkah anda mengagak apa yang akan anda lakukan? Teringat saya dengan perbualan rakan-rakan sekolah dulu:
A: Kalau ada orang hina hang, hang nak buat apa?
B: hina depan atau belakang kita?
A: Kalau hina kat belakang?
B: Biar pi, tak payah ambik kisah.
A: kalau hina depan hidung?
B: Tengok dulu, kalau benda tu betul, kena muhasabah.
A: Kalau tak betul?
B: Saya tampar muka dia sampai lebam.........

Macam mana dengan anda ??????

Sunday, March 8, 2009

Syair: Tuanku

Burung Merak Burung Cendrawasih
Meliuk indah terbang tinggi
Sembah hamba Tuanku terkasih
Harapkan mulia di sisi duli

Tinggi langit Tinggi kayangan
Jauh melangit jauh pandangan
Nasihat Tuanku jadi pedoman
Patik hidup penuh panduan

Asam kandis asam gelugur
Menyedap rasa mewangi bau
Pabila Tuanku hendak menegur
Dengarlah rintih patik dahulu

Buah pelaga buah pala
Serupa nama berbeza rasa
Sebelum Tuanku naik murka
Harap dengarkan hajat hamba

Tinggi langit menutup bumi
Luas bumi seluas hati
Bukan patik tak tahu diri
Cuma hulurkan isi hati

Pabila PPSMI menjadi isu

Dalam hangatnya perdebatan kewajaran pelaksanaan PPSMI, saya melihat ad 2 kumpulan yang amat ketara. Kumpulan yang menyokong dan kumpulan yang membantah. Bagi kumpulan yang menyokong PPSMI, hujahnya memang cukup kuat, yaitu ingin menjadikan PPSMI sebagai anjakan masa hadapan anak-anak bangsa. Tapi bagi kumpulan yang menolak PPSMI pun, alasannya memang munasabah, yaitu bimbang bahasa Melayu akhirnya terpinggir lalu dilupakan oleh anak-anak bangsa sendiri.

Pada saya pula, mungkin boleh dianggap mewakili kumpulan ketiga, kumpulan yang neutral, rasanya sudah terlalu terlambat kalau nak tarik balik pelaksanaan PPSMI. Kalau nak buat kecoh dan kacau , sepatutnya dari dulu lagi, sewaktu kerajaan baru nak melaksanakan PPSMI 2002. Meminjam istilah dari seberang: Terlanjur basah, ya sudah, mandi sekali. Ertinya, terlalu banyak benda yang perlu "dibuang" dan akan timbul lagi terlalu banyak masalah untuk "restart". Bukan setakat bebanan cost yang mesti dikeluarkan tapi juga akan menimbulkan kecelaruan di kalangan pelajar sendiri. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Pelajar yang pada mulanya dulu "takut" sekarang dah mula "selesa". Ibu bapa yang dulunya risau, dah mula lega kerana anak-anaknya dah makin terbiasa dengan PPSMI. Kalau tiba-tiba "patah balik" , boleh bayangkan apa yang bakal terjadi? Ramai lagi yang makin pening dan isu ini tidak akan pernah ada kesudahannya.

Secara global, seharusnya ada 2 perkara yang menjadi tumpuan:
1. Samada PPSMI akan dimansuh atau tidak, kerajaan hendaklah menilai semua aspek secara komprehensif. Memanglah dalam hal ini yang menjadi tumpuan adalah pelajar, samada mereka boleh atau tidak mengikut rentak PPSMI. Tapi aspek lain seperti kesediaan tenaga pengajar untuk melaksanakan PPSMI, sarana dan prasarana yang menyokong pembelajaran dan banyak hal lain pun perlu diambil kira. Dan yang paling utama sebetulnya adalah, mencari jalan tengah agar tidak ada pihak-pihak yang merasakan pelaksanaan PPSMI sebagai satu cara untuk "memansukhkan" bahasa melayu di negara sendiri. Sememangnya kerajaan tidak akan mampu dan tidak akan pernah mampu memenangi hati semua pihak, tapi setidaknya kerajaan mampu memperolehi cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini dengan mengecilkan tahap "kemudaratan" di masa hadapan.

2. Tak kira samada PPSMI akan berjalan atau tidak, sepatutnya Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil langkah pro aktif yang ekstra, untuk menterjemahkan dan mempopularkan istilah-istilah sains dan matematik ke dalam bahasa Melayu. Satu ketika dahulu, saya amat meminati kolum kecil di surat kabar Utusan. Tertulis di bagian atas kolum itu, Cintailah Bahasa Kita. Saya mengumpulkannya dalam file khas. Di dalam kolum itu ada banyak istilah English yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sesetengahnya memang agak pelik dan melucukan. Tapi kalau dipikirkan, sebetulnya perkara sedemikian takkan berlaku jika sedari dulu lagi istilah-istilah dalam bahasa Melayu itu dipopularkan dalam masyarakat kita, atau setidaknya di bangku sekolah. Hakikatnya untuk membentuk identity sendiri bahasa kita memerlukan kerja keras, dalam hal ini Kerja keras Dewan Bahasa dan Pustaka lah yang menjadi harapan dan tumpuan masyarakat. Menyalahkan sepenuhnya kepada orang awam, kenapa mereka lebih selesa speak in English, pun tak boleh juga, sebab ada yang "tidak lengkap" dalam bahasa Melayu sendiri. Ambil contoh, kata-kata seperti drebar, askar. kedua-duanya adalah kata serapan dari bahasa Inggris dan Arab. Mengapa orang awam lebih selesa menggunakannya daripada menggunakan bahasa Melayu "ori", pemandu dan tentera? Sebab kata askar dan drebar sememangnya lebih popular penggunaannya. Nak salahkan siapa, sila jawab sendiri.

Sunday, March 1, 2009

Fashion anak-anak kita

Mungkin kerana curiousity seorang ibu, saya rasakan teramat sukar nak cari fashion yang menutup aurat untuk anak-anak seawal 5 tahun. Kalau nak buat sendiri bukan tak boleh, tapi adakalanya anak-anak pun perlu "tahu" macam mana rasanya memakai baju yang dibeli dari kedai, tak kiralah walaupun tak berjenama. Tapi, terkadang saya tak habis pikir, baju yang baru dibeli sebulan lepas dah boleh jadi sendat "terlalu cepat". Kalau dikatakan berat badan anak naik, rasanya tak juga sampai sebegitu drastis. Tapi baju dah jadi sendat semacam, dipakai kona kanan, kona kiri pun tak menjadi, asyik terdedah perut dan bagian belakang badan. Anak yang kita fikir tak peduli bab ini, ternyata boleh pula perasan dan bising tak mau pakai baju itu lagi.

Pada awalnya saya ingat anak saya seorang yang buat pasal, ternyata ramai lagi ibu-ibu yang menghadapi problem serupa. Kami jadi tak habis fikir. Adakah ini taktik penjual supaya barangnya cepat laku, sebab tiap bulan dah pasti pembeli akan datang lagi. Ataukah ianya kerana mengikut trend semasa. Kalau non muslim yang nak pakai, siapa pun tak boleh pertikai, bimbang-bimbang kena heret pula ke suhakam, maksudnya non muslim tentu lebih tahu hukum hakam dalam agamanya masing-masing, jadi kita tak boleh masuk campur. Tapi, kalau kita yang muslim ni, rasanya tak payah buka kitab pun dah semestinya tahu aturan dan adab berpakaian dalam Islam, tak kiralah dari ibu bapa, tok nenek ataupun cikgu dan ustad-ustadzah. Tak ada istilah boleh seksi, asalkan tak telanjang. Itu tak reti agama, ertinya.

Saya cuma bimbang, kalau sejak kecil anak-anak kita tak terbiasa menutup aurat, esok lusa, di masa hadapan, silap hari bulan tudung dah menjadi aksesori semata-mata. Yang pasti, bimbang-bimbanglah di akhirat kelak kita pula yang masuk neraka kerana tak "reti" mendidik anak. Naudzubillah.

Rasanya kita memang memerlukan indusri fashion yang bukan sahaja mementingkan keuntungan semata-mata tapi juga "nilai lebih" di sisi agama Islam plus harga yang berpatutan tentunya. Wallahu'alam.