Saya perhatikan sejak kebelakangan ini ada saja isu yang boleh menjadi punca "perbalahan" antara Indonesia dan Malaysia. Walhal, kalau nak dipikir balik, ada sesetengah isu tu sebenarnya masalah kecil sahaja, yang sepatutnya boleh dibawa berbincang dengan kepala dingin. Ertinya, tidak semua masalah antara kedua-dua negara sepatutnya menjadi sesuatu yang "ekstrim" yang pada akhirnya akan merugikan rakyat di kedua-dua negara berjiran ini.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula dua buah negara serantau. Ibarat abang dan adik, adik dan kakak, tak kisahlah siapa yang abang, kakak atau adik, yang penting sepatutnya sudah ada persefahaman yang kental diantara keduanya. Semua masalah boleh dibawa berbincang asalkan tidak ditunggangi oleh pihak-pihak tertentu yang bermaksud jahat kepada dua negara berjiran ini. Inilah sepatutnya perkara penting yang selalu menjadi ingatan kita bersama. Ada pihak yang tak senang duduk dengan keakraban dan kemesraan dua negara ini. Tambahan pula kedua-dua negara ini bukan sahaja dikenal akan kekayaan sumber alamnya, tapi juga sumber manusianya yang majoritinya adalah penduduk muslim.
Saya bukan nak mengapi-apikan pula penganut agama yang berbeza di negara ini ataupun negara seberang sebab sebetulnya ada sahaja sesuatu yang boleh dijadikan punca perbalahan dan perpecahan. Bagi pihak-pihak yang tak sukakan Islam, tentu sahaja Islam yang akan menjadi target. Bagi yang tak sukakan perpaduan kaum, tentu sahaja memecahbelahkan kehormonian sedia ada adalah agenda utamanya. Bagi yang tak sukakan bangkitnya dunia ekonomi Asia Tenggara, Indonesia dan Malaysia mungkin boleh dilihat sebagai "fragile" untuk menjalankan misi jahat tersebut.
Apapun, yang boleh saya nasihatkan adalah, tak kira apa yang berlaku, tak kira apapun masalah yang menjadi puncanya, hendaklah kita timbang semuanya dengan neraca yang berpada-pada. Jangan biarkan emosi yang membimbing kita ke jalan kegelapan, tapi mari jadikan "keserumpunan" kita menjadi satu kekuatan untuk kita semua dalam menghadapi cabaran dunia yang mungkin akan lebih besar lagi di masa hadapan. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment