Saya merasa sungguh hairan ketika membaca tulisan putri sulung kami dalam buku latihan Bahasa Malaysia. Yang menjadi perhatian saya adalah ayat terakhirnya....."Saya ingin jadi tukang masak."
"Why do you want to be chef?" tanya saya ketika itu sambil menahan tawa. Dalam bahasa Malaysia yang cukup petah, dia menjawab...."Saya gembira jadi tukang masak.Nanti saya boleh tolong Mama."
Entah apa yang bermain dalam mindanya, yang pasti saya boleh nampak kegembiraan itu dalam bening matanya. Mungkin dia merasa gembira kerana sudah menemui sesuatu yang benar-benar dia suka lakukan. Pada saya, benar atau tidak kelak dia akan jadi tukang masak/chef, sudah tak lagi penting. Yang penting ananda sulung kami sudah tahu apa yang benar-benar ia mahukan.
Mungkin dulu generasi kita dan ibu bapa kita kurang didedahkan dengan jenis pekerjaan dan kerjaya yang beragam. Sehinggakan apabila seorang budak ketika itu, ditanya mahu jadi apa dia apabila besar nanti, maka jawaban yang diberi cenderung sama dan monoton.......kalau bukan jadi doktor, polis atau engineer.
Namun seiring dengan kemajuan dunia maklumat dan teknologi, berbagai jenis kerjaya boleh menjadi pilihan.Generasi muda sekarang cenderung memilih bidang yang masih "segar" dengan asumsi bidang tersebut mempunyai potensi untuk lebih maju dan berdaya saing di masa hadapan.
Apapun bidang pendidikan dan kerjaya yang menjadi pilihan generasi muda kita, diharapkan akan menjadi pemangkin kemajuan negara ini.Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment