Condemn Israel!!!!!

Wednesday, November 12, 2008

Mana satu lebih menakutkan?

Beberapa hari lepas eksekusi hukuman tembak sampai mati sudah pun dilakukan oleh Republik Indonesia ke atas 3 pengebom Bali. Kawalan di sana- sini telah pun diperketat kerana dibimbangi akan berlakunya lebih banyak "kehancuran" lagi akan dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati, khasnya para penyokong 3 orang tersebut. Bimbanglah juga saya dibuatnya. Terlebih lagi bila mengingat husband and rombongan akan berlepas ke Jakarta atas urusan rasmi. Semoga Allah melindungi mereka. Amin.

Sebagai insan yang ilmu agamanya terlalu rendah, saya tak habis fikir, mengapa ada orang seperti 3 pengebom itu. Entah dalil Quran dan hadist yang mana satu yang membuatnya menghalalkan cara ala bomb untuk menghancurkan musuh Islam seperti yang didakwa. Hakikatnya terlalu ramai yang menjadi mangsa ketika itu,bukan sahaja orang asing sebagai target tetapi juga rakyat tempatan.

Pada saya, kalau ya pun mereka bencikan sangat orang kafir, rasanya tak ada satu dalil pun yang menghalalkan segala cara untuk memusnahkan mereka. Orang kafir pun kita perlu kenal pasti. Adakah ianya kafir dan memusuhi Islam secara terang-terangan atau kah kafir kerana kejahilan ilmu dan tidak sampai lagi hidayah iman dalam hatinya.

Pada saya, kalau ya pun bencikan sangat orang barat, tidak bererti harus memutuskan segala hubungan sedia ada dengan mereka. Cuba bayangkan sekiranya kita menghalang kemasukan semua produk dari barat tanpa usul periksa, bukankah rakyat negara ini juga yang akan rugi kerana ada sesetengah faktor yang tak kita punyai atau belum mampu kita miliki sendiri. Cuba bayangkan pula kalau negara ini ditegah dari mengeksport barangan ke luar, mesti lingkup lah negara ini kerana tak ada income yang masuk. Natijahnya ramai orang yang akan menderita.

Kita akui ramai orang non muslim di luar sana yang tidak menyukai Islam dengan berbagai alasan masing-masing. Tapi, janganlah pula kita memperburuk keaadaan dengan mencipta image teroris, keras dan fanatik di mata dunia. Semakin takutlah orang pada Islam.Semakin bencilah orang pada muslim dan akhirnya semakin jauhlah hidayah yang kita harapkan untuk mereka memahami hakikat islam sebenar.

Siapalah kita hendak menganggap diri sendiri paling benar. Sedangkan sebagai insan hakikatnya kita tak pernah terlepas dari silap salah dan dosa, bukan maksum seperti Rasulullah SAW. Siapalah kita hendak memaksa orang mengikut jalan kita dengan kekerasan sedangkan rasul pun menggunakan cara yang berhemah dan dalam Al quran pun terlalu banyak ayat yang menyuruh kita menyeru kebaikan kepada manusia dengan cara yang ma'ruf dan penuh kasih sayang.

Apakah umat Islam sekarang ini terlalu desperate sehingga tidak melihat jalan keluar lain selain tindakan yang anarki dan kejam? Ambil contoh kes seorang petani miskin di Pakistan yang dicungkil kedua biji matanya oleh puak Taliban kerana disyaki menjadi tali barut kerajaan. Cuba guna logik anda. Baru disyaki. Jadi siasatlah dulu betul-betul. Dalam Al Quran pun ada ayat yang menyuruh kita tabayyun atau recheck sekiranya sampai berita yang meragukan. Cari bukti yang kukuh. Ini, tergamak seorang yang mengaku muslim sejati menzalimi muslim lain?

Entah apa nak jadi dengan dunia Islam kita? Mari sama-sama kita fikirkannya. Wallahu'alam.

No comments: