Condemn Israel!!!!!

Tuesday, August 26, 2008

Kebebasan Yang Bertanggung jawab

Saya sangat bersetuju jika dikatakan blogger mempunyai tanggung jawab yang sama dengan wartawan/jurnalis. Itu ertinya apa pun yang dikemukakan dalam tulisannya adalah sesuatu yang dapat dipertanggung jawabkan. Walaupun seorang blogger berhak menulis hal-hal yang terlalu pribadi sekalipun, sudah semestinya ia akan berkenaan dengan orang-orang terdekatnya. Ada hati-hati yang perlu dijaga dan ada perkara-perkara yang tak semestinya didedahkan serta ada banyak isu yang lebih terjaga kemaslahatannya jika tidak didedahkan. Ini kan pula nak menulis hal-hal yang berkenaan dengan orang lain. Tentu blogger kena pastikan keshahihan sumber dan apa impak yang akan berlaku apabila orang membacanya.

Mengenai wartawan/jurnalis pula, saya faham kepayahan dan liku-liku yang harus anda hadapi untuk mendapatkan dan menerbitkan satu-satu berita. Saya pun pernah menjadi wartawan juga, walaupun "kecil-kecilan" saja. Ada kalanya sendiri rasa bosan dengan berita yang didapat. Seolah tak ada lagi tajuk lain yang boleh diangkat, seolah berpusing-pusing di situ saja. Di sinilah letak kemampuan kita, bagaimana kita mampu lebih kreatif dan agresif dalam mencari berita. Tapi seperkara yang anda perlu tahu, sebagai wartawan kita tak boleh menyebelahi mana-mana pihak. Tak kira lah masa tu kita dalam keadaan terjepit. Kita perlu menjaga integriti kita sebagai seorang yang independent dan tidak akan menjadi "tali barut" mana-mana pihak. Tapi, kita pun dituntut "menjaga hati" banyak pihak. Tak semestinya apa yang kita "dapat" boleh kita dedahkan begitu saja. Lalu lepas tangan dan bersorak kegirangan kerana berita kita menjadi tatapan semua rakyat. Ada implikasi yang perlu kita fikirkan. Apakah berita yang kita bawa akan menenangkan hati rakyat yang sedang gelisah, ataukah justru menyemarakkan lagi kekalutan dan kebencian dalam hati rakyat.

Tak kiralah anda blogger atau wartawan/jurnalis, kita ada kebebaskan untuk menyuarakan suara hati kita dan rakyat. tapi kebebasan itu hendaklah kebebasan yang bertanggung jawab. Ertinya, kita mampu memikul apa yang kita sampaikan itu sebagai sebuah amanah yang bukan saja perlu kita pertanggung jawabkan di dunia ini tapi juga di hadapan Allah SWT kelak. Jadi, beringatlah.

No comments: