Secara umum, masyarakat menyifatkan keadaan politik dalam negara amat mencelarukan. Tapi pada saya, itu adalah sesuatu yang lumrah. Hakikatnya, politik memang sepatutnya berlaku secara dinamik. Tidak hanya statik, mengikut arus saja. Memetik ungkapan MB Kedah: "Dalam politik, apapun boleh berlaku. Yang kawan boleh jadi lawan. Lawan pula mungkin akan jadi kawan".
Di tengah-tengah "heboh" nak menyatukan PAS dan UMNO dalam satu parti Melayu, sebenarnya ada beberapa perkara yang patut menjadi bahan pertimbangan.
PAS ditegakkan atas asas Islam, sedangkan UMNO lebih berlandaskan pada semangat Nasionalism. Yang menjadi persoalan sekarang, bolehkah masing-masing pihak menerima kelebihan dan kekekurangan masing-masing? Tidak dinafikan dalam UMNO ada ramai yang menganggap Islam itu "menakutkan", walaupun mereka sendiri orang Islam. Islamophobia. Tak pasti ini dikeranakan oleh faktor luaran seperti propaganda negara Barat atau faktor dalaman UMNO itu sendiri yang terkadang terlalu menekankan pada semangat nasionalism.
Sementara PAS pula, terlanjur dikenal sebagai parti yang terlalu "keras". Keras dalam pendekatan dan dalam pengambilan tindakan. Mampukah mereka berlapang dada menerima UMNO dengan cara yang lebih mesra? UMNO pula, mampukah mereka menerima pelaksanaan syariat Islam sebagaimana yang telah diterapkan dalam PAS?
Tak kira PAS dan UMNO bersatu atau tidak, DAP dan PKR pula mungkin menganggap isu perpaduan Melayu adalah sesuatu yang "menggerunkan". Ini dikarenakan lambakan masalah kaum bukan Melayu yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini. Saya yakin mereka bimbang, kalau Melayu bersatu tentu makin tertindaslah nasib mereka.
Sebenarnya Islam melindungi dan sangat mengambil berat atas hak-hak orang bukan Islam. Rasulullah SAW telah meunjukkan ketauladanan dalam hal ini. Saya yakin, PAS diterima dalam pakatan rakyat juga kerana mereka mampu dan sudah lama menerapkan konsep ini. Yang menjadi persoalan sekarang adalah mampukah UMNO berlapang dada dalam hal ini, tidak menjadikan semangat nasionalism untuk "mengabaikan" kaum bukan Melayu?
Apapun, 2 soalan penting di atas hanya mampu dijawab oleh orang-orang yang terlibat secara langsung dalam hal ini. Mungkin peringkat atasan boleh terima, tapi mampukah perkara sama diterima hingga peringkat akar umbi?
No comments:
Post a Comment